Saturday, February 14, 2009

GURU.....

Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.
Eilane (2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
· Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.
· Ciri mengajar yang memberikan hasil.
· Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.
1. Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.
2. Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
3. Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.
Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip
Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?
L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut:
" Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which
aspects of our teaching are good and which need to be changed. The
question then arises as two who should take responsibility for doing this
evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching.
Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary
responsibility for doing the evaluation."

"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab.
1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.
2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.
3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus.